Malaysia Komited Terus Bantu ASEAN Walaupun Bukan Lagi Pengerusi

News-2711

KUALA LUMPUR 20 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, usaha untuk membangunkan dan memajukan ekonomi rantau Asia Tenggara akan tetap diteruskan oleh Malaysia meskipun bukan lagi dengan kedudukan selaku Pengerusi ASEAN.

Menurut Perdana Menteri, beliau juga yakin aspirasi Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) untuk mewujudkan pasaran tunggal di rantau ini bakal tercapai selagi negara-negara anggotanya teguh bersatu.

‘‘Tadi saya menerima Laporan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) dan saya akan menjuarai cadangan-cadangan anda (bagi memajukan ekonomi ASEAN). Walaupun kerusi Pengerusi ASEAN yang dipegang saya ini akan tamat dua hari lagi, saya tetap akan teruskan usaha menjuarainya.

‘‘Banyak daripada cadangan ini boleh dilaksanakan termasuk Kad Perjalanan Perniagaan ASEAN. Kalau Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) boleh melakukannya, kenapa tidak ASEAN?’’ katanya ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN 2015 di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pengerusi ASEAN-BAC, Tan Sri Dr. Munir Majid.

Najib turut menyempurnakan pelancaran ASEAN Growth Accelerator Exchange (GAX) yang bakal menawarkan infrastruktur digital termasuk keperluan kewangan elektronik untuk komuniti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ASEAN.

Selain itu, beliau juga menyampaikan anugerah kepada 12 syarikat yang menjadi pemenang dalam Anugerah Perniagaan ASEAN 2015 di atas pencapaian dalam sektor-sektor integrasi keutamaan ASEAN.

Menurut Najib, ASEAN sememangnya berpotensi besar menjadi pemain ekonomi global yang berdaya saing kerana memperoleh pelaburan luar terkumpul sebanyak AS$136 bilion (RM578.34 bilion) tahun lalu, iaitu jumlah yang lebih besar diperoleh China dan Amerika Syarikat (AS).

‘‘ASEAN dijangka mencatatkan pertumbuhan purata tahunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.6 peratus sehingga 2019. Menerusi pembentukan AEC, saya yakin jumlah kemasukan pelaburan luar akan terus bertambah,’’ katanya.

Jelas beliau, dalam memantapkan lagi pertumbuhan ekonomi rantau ini, kerjasama strategik antara sektor awam dengan sektor swasta di kalangan negara-negara anggota ASEAN perlu dikukuhkan.

Katanya lagi, integrasi ASEAN sebagai sebuah komuniti juga perlu diteruskan dengan pelbagai langkah termasuk memansuhkan sekatan bukan tarif, menggalakkan perkembangan sektor PKS dan membuka peluang pengajian tinggi serta pekerjaan tenaga mahir sesama negara-negara ASEAN.